Rabu, 18 Jun 2014

“Ciri-ciri sifat sabar seorang Mukmin !



Sabar merupakan salah satu akhlak al-Quran yang paling utama dan ditekankan oleh al-Quran baik pada surah-surah Makkiyah mahupun Madaniyyah. Ianya merupakan akhlak yang sangat mulia untuk diamalkan
oleh setiap manusia. 

Menurut Imam al-Ghazali : "Sabar merupakan ciri khusus milik manusia dan tidak dimiliki oleh haiwan kerana kekurangankekurangannya dan tidak pula oleh malaikat kerana kesempurnaannya". 
Hal ini kerana haiwan dikuasai oleh nafsu syahwat dan diciptakan untuk melaksanakan tugas nafsu syahwatnya. Sedangkan malaikat sepenuhnya cenderung mengabdi dan dengan sukarela mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Antara contoh mereka yang tinggi kesabarannya adalah para rasul yang digelar sebagai Ulul Azmi. Mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi MusA, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. 

Firman Allah SWT. dalam surah al-Ahqaf ayat 35: “Bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulul-Azmi"

Para Rasul Ulul Azmi ini adalah mereka yang gigih mengajak manusia untuk taat memperhambakan diri kepada Allah SWT dan meninggalkan segala bentuk syirik atau sekutu kepada Allah SWT. Malahan mereka adalah golongan yang tinggi kesabaran ketika berdakwah. Mereka ditentang oleh kaum manusia yang tidak beriman kepada Allah SWT. Lihatlah sahaja  kesabaran Nabi Nuh AS. yang berdakwah selama 950 tahun semata-mata  untuk mengajak manusia beriman kepada Allah SWT, namun tidak ramai  yang beriman dengan risalah beliau termasuklah anak dan isteri beliau sendiri.

Firman Allah SWT. dalam surah al-Ankabut ayat 14: “Dan sungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah Dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima
puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”.

Al-Quran sangat menitik beratkan ciri-ciri sifat sabar kerana ianya adalah sifat yang bernilai tinggi, baik menurut perspektif agama mahupun akhlak. Sabar bukanlah sekadar kebajikan tambahan atau pelengkap, tetapi suatu keharusan yang sangat diperlukan manusia dalam peningkatan aspek material dan spiritualnya dan untuk kebahagiaan peribadi serta masyarakat. Walau bagaimanapun, untuk menahan diri daripada sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah serta menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah swt adalah usaha yang sukar dan memerlukan usaha yang padu serta keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Terdapat banyak ciri orang yang sabar disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Menurut Ibnu Katsir bahawa tiga ciri utama bagi orang yang sabar ialah; pertama sabar dalam meninggalkan hal yang diharamkan dan dosa. Kedua, sabar dalam melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah. Ketiga, iaitu sabar dalam menghadapi berbagai bencana dan petaka. Antara ciri-ciri sifat sabar bagi seseoran mukmin adalah :


1. Bersabar dari dorongan hawa nafsu.

Untuk menahan diri daripada hawa nafsu sehingga boleh melakukan maksiat kepada Allah SWT juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Contohnya seseorang wanita itu tidak mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan mahramnya kerana dia tahu perkara tersebut adalah berdosa disisi agama. Begitulah juga para pemuda mahupun pemudi yang menahan nafsu syahwat mereka dengan penuh rasa sabar kerana mahu mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam dosa perbuatan zina. Sesungguhnya naluri manusia kadang-kadang ingin melakukan perkara-perkara yang telah Allah SWT haramkan kepadanya. Namun dengan rasa keimanan yang tinggi kepada Allah maka lahirlah sifat sabar yang lantas mengawal dirinya daripada berbuat dosa.

Hadis daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Sesungguhnya neraka dikelilingi oleh perkara-perkara yang
memuaskan syahwat manakala syurga itu pula dikelilingi oleh perkaraperkara
yang tidak disukai”.
(Riwayat at-Tirmizi).

Nafsu terhadap kesenangan dan kemewahan hidup merupakan salah satu ujian dari Allah SWT. Orang-orang mukmin perlu sabar dari kelazatan hidup di dunia. Kita dilarang tunduk kepada nafsu yang terdiri daripada wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang bertimbun-timbun, binatang ternakan, kebun-kebun tanaman serta ladang-ladang yang luas. Sekiranya kita tidak mengawal nafsu maka kesenangan ini akan menjadikan kita sombong dan melampaui batas.

2. Bersabar dalam melakukan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Segala kewajipan yang telah disuruh oleh Allah SWT hendaklah kita laksanakan dengan cara yang terbaik. Untuk melaksanakan kewajipankewajipan ini perlulah disertakan dengan sifat kesabaran. Contohnya kita sabar dalam menunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan zakat setelah tiba tempohnya, menunaikan ibadah haji di Baitullahil Haram dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT. dalam surah Tahaa ayat 132: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Sebagai umat Islam kita tidak lari daripada mengikut perintah dan suruhan Allah. Ibadat yang dilakukan itu mestilah dilaksanakan dengan cara yang betul sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan dibuat dengan penuh keikhlasan. Dengan ini barulah kita memperoleh ganjaran daripada Allah SWT. dan diredhaiNya. Menurut Imam Ghazali, sabar di atas ketaatan itu sukar kerana diri manusia menurut tabiatnya lari (tidak berminat) kepada ubudiyah (beribadat).


3. Reda dengan ketentuan dan ujian daripada Allah SWT.

Apabila menyebut mengenai ujian maka akan tergambar dalam kotak pemahaman bahawa ujian itu adalah kesakitan, kesusahan dan kesedihan. Ujian itu juga dianggap khusus kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan. Di samping itu, kekayaan dan pemberian zuriat juga merupakan ujian daripada Allah swt. Ujian harta benda datang ketika mana hadirnya sifat bakhil dalam jiwa manusia manakala ujian anak-anak pula datang ketika mana mereka jauh daripada syariat Islam.

Firman Allah SWT. dalam surah at-Taghabun ayat 15: “Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu merupakan ujian dan pada Allah jualah pahala yang besar”.

Mereka yang sabar dengan ketentuan Allah SWT akan sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT. Segala ujian sama ada dalam bentuk kesakitan mahupun kesedihan itu akan ditempuhnya dengan tabah dan yakin segala itu ada hikmah dan kebaikan untuk diri dan kehidupannya di muka bumi Allah SWT. Ketika ditimpa ujian maka dia akan meletakkan tangannya di atas dada lalu berkata“Hasbiyallahu wa ni’mal wakil” iaitu cukuplah Allah itu bagiku dan dialah sebaik-baik pengatur urusan.

Firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah ayat 155: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. 

Ketika seseorang itu dipukul gelora dalam kehidupannya dia akan menerima ketentuan tersebut dengan rasa reda. Baginya setiap ketentuan Allah swt itu adalah baik baginya. Inilah ciri-ciri mereka yang tinggi keimanan
ketika mana ditimpa musibah dalam kehidupan. Malah Nabi saw mengkategorikan mereka ini sebagai golongan yang luar biasa.

Hadis daripada Suhaib RA. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Amat luar biasa urusan kehidupan seseorang mukmin itu. Segala perkara yang ditempuhinya dianggap baik baginya. Perkara ini tidak akan dirasai melainkan oleh seseorang yang beriman. Apabila diberikan kesenangan maka dia akan bersyukur kerana dia yakin perkara tersebut adalah baik baginya. Malah apabila dia ditimpa musibah maka dia akan bersabar kerana perkara itu juga adalah baik baginya”.
(Riwayat Imam Muslim).

Mereka yang tidak mampu menerima ujian ini adalah merupakan golongan yang terlalu nipis sifat kesabaran di dalam jiwa mereka. Maka mereka akan membenci setiap ketentuan dan ujian yang mereka hadapi. Kebencian ini akan lahir daripada hati mereka dengan menolak qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan dalam hidup mereka. Hati kecil mereka akan berkata, “Kenapakah kejamnya Tuhan kepada diriku?” Malah tindakan benci ini akan lahir dengan kata-kata kesat terhadap ketentuan Allah swt ke atas diri mereka. Kemungkinan juga sifat benci ini akan hadir dalam bentuk tindakan dengan mencederakan anggota tubuh badan malah mungkin menyebabkan seseorang itu membunuh diri. Inilah golongan yang terlampau lemah jiwa dan iman mereka ketika ditimpa sesuatu ujian.

4. Bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah SWT.


Inilah sifat paling mulia pada seseorang hamba ketika menerima ujian dan dugaan kehidupan daripadaNya. Ketika mana dia telah bersabar dan redha, lantas akan hadir suatu rasa yang cukup indah iaitu bersyukur di atas ujian-ujian tersebut. Hal ini kerana dengan ujian kesakitan dan kesedihan itulah yang menyebabkan dia lebih kuat iman dan terasa lebih hampir kepada Allah SWT. Segala kesakitan zahir dan batin itu seakan hilang bila rasa cinta kepada Allah swt dan syukur kepadaNya itu hadir di dalam jiwanya. Inilah sunnah Nabi saw ketika menerima ujian yang ditempuhinya. Baginda saw akan bersyukur lantas mengucapkan : “Segala pujian bagi Allah SWT di atas setiap keadaan”.
(Riwayat Ibnu Majah).

Antara pengajaran dan kesimpulan khutbah hari ini adalah:

1. Sebagai orang Islam, kita hendaklah melatih diri supaya bersifat sabar.

2. Kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah dalam apa jua keadaan.

3. Kita hendaklah bersungguh-sungguh melawan godaan hawa nafsu untuk menjauhi segala larangan Allah.

4. Kita hendaklah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

“Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana
Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar”.
(al-Baqarah : 153)

~> Sicerely, Pedang Rasulullah <~

!!! Masih Menunggu Jawapan DariNya !!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan